Harga minyak mentah kekal meningkat pada pagi ini mengekalkan momentum pengukuhan sejak semalam susulan pemulihan pada sentimen pasaran yang berisiko sebelumnya.
Selepas laporan rundingan di antara Amerika Syarikat dan China akan diteruskan semula, kebimbangan pelabur mulai berkurangan dengan ketegangan antara Beijing dan Washington sedikit reda.
Sebelum itu, kedua-duanya telah mengumumkan tarif tambahan di mana China telah menetapkan tarif $75 bilion ke atas barangan Amerika Syarikat sebelum Trump memberi reaksi tindak balas meningkatkan tambahan tarif menjadikan jumlah tarif dikenakan bernilai $550 bilion.
Harga minyak telah mencatatkan penurunan sekitar 20% sejak mencapai paras tertinggi 2019 pada April lalu berikutan kegelisahan terhadap konflik AS-China yang menjejaskan ekonomi global dan mempengaruhi penurunan pada permintaan minyak mentah.
Dagangan emas pada Selasa pula dilihat stabil selepas mencatatkan penurunan semalam. Penurunan berlaku setelah nilai emas berjaya merekodkan kenaikan ke paras tertinggi terbaru untuk tempoh lebih 6 tahun pada awal sesi Asia semalam.
Namun harga kembali mencatatkan penurunan apabila Trump kembali memberikan kenyataan yang positif terhadap rundingan dagang bersama China dan mengurangkan risiko dalam pasaran membuatkan aset safe-haven kembali mempamerkan penyusutan.
Timbalan Presiden China, Liu He yang mengetuai rundingan bersama Washington berkata pada Isnin bahawa China menentang peningkatan ketegangan dalam rundingan dagang.