Pasaran minyak mentah global turut menerima tempias ekoran ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kembali hangat susulan kedua-dua negara saling berbalas serangan tarif pada penghujung minggu lalu.
Harga minyak mentah mencatatkan penurunan pada Isnin menekan minyak mentah AS ke paras terendah dua minggu setelah kehangatan perang dagang AS-China meleburkan keyakinan terhadap ekonomi global.
Harga minyak mentah menurun 1.1% ke paras terendah sejak 15 Ogos lalu sementara minyak mentah AS pula turun 1.3%, terendah sejak 9 Ogos.
Manakala nilai emas pula kembali melonjak semula dan pada pembukaan sesi Asia minggu ini, harga emas merekodkan paras ketinggian yang terbaru untuk tempoh lebih 6 tahun.
Ketegangan perang dagang yang meningkatkan risiko dalam pasaran membuatkan pelabur lebih tertarik terhadap aset safe-haven seperti emas termasuk mendorong kenaikan pada matawang Yen Jepun dan Swiss franc Switzerland.
Menteri Perdagangan China menyatakan pada minggu lalu tarif tambahan 10% atau 15% akan dikenakan ke atas 5,078 jumlah produk barangan berasal dari Amerika Syarikat termasuk minyak mentah, produk pertanian seperti kacang soya dan lain-lain.
Sebagai respon tindak balas, Presiden Donald Trump yang mengumumkan tarif tambahan turut mengarahkan syarikat-syarikat AS untuk mencari jalan bagi menutup operasi di China dan membuat produk di Amerika sendiri.
Faktor ketegangan perang dagang AS-China telah menenggelamkan tumpuan utama pelabur sebelum itu iaitu ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell pada acara tahunan simposium ekonomi di Jackson Hole, Wyoming.
Powell menyatakan ekonomi berada di tahap yang baik dan Federal Reserve akan bertindak tepat untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.
Syarikat Tenaga AS telah mengurangkan pelantar minyak paling tinggi dalam tempoh 4 bulan pada minggu lalu, dengan jumlah bilangan pelantar jatuh ke paras terendah sejak Januari 2018, berikutan para pengeluar mengurangkan perbelanjaan terhadap penggalian dan pemprosesan terbaru.