Antara perkara yang menjadi tumpuan pada dagangan pada sesi Eropah hari ini adalah bacaan data inflasi UK dan indeks sentimen perniagaan di Jerman serta ucapan oleh Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde.
Dolar euro meningkat selepas indeks sentimen perniagaan di Jerman pada bulan Disember hasil tinjauan oleh Ifo menunjukkan peningkatan kepada 96.3 iaitu lebih baik daripada bacaan pada bulan sebelumnya pada 95.1 dan melangkaui jangkaan yang diunjurkan untuk meningkat 95.6.
Pembacaan tersebut merupakan yang tertinggi sejak Jun, didorong oleh penilaian syarikat terhadap situasi ekonomi semasa adalah lebih baik berbanding pada bulan sebelumnya. Sentimen didapati meningkat dalam sektor pembuatan dan penyedia perkhidmatan, tetapi merosot di kalangan peniaga dan kontraktor.
Institut Ifo berkata sentimen perniagaan dilihat mula kembali di Jerman yang akan membawa peningkatan dalam pelaburan akan datang. Ekonomi Jerman juga dikatakan masih jauh lagi untuk mendapatkan pengukuhan tetapi buat masa sekarang, terdapat tanda-tanda yang positif untuk menuju ke arah itu.
Dagangan pound terus diniagakan lemah berbanding kesemua matawang utama dipengaruhi oleh kebimbangan pasaran terhadap risiko no-deal Brexit yang semakin meningkat.
Kadar inflasi yang diukur oleh indeks harga pengguna tahunan di UK kekal stabil pada 1.5% pada bulan November, iaitu merupakan paras terendah sejak November 2016, tetapi dicatatkan lebih baik daripada yang disasarkan pasaran untuk menurun 1.4%.
Sementara itu, US dolar mula mempamerkan penyusutan berbanding yen pada sesi Eropah, menjelang pengundian yang akan dilakukan oleh Dewan Perwakilan AS terhadap pemecatan Presiden Donald Trump pada hari ini. Senat AS pula dijangka akan mengundi pada Januari ini.