Harga minyak mentah kembali stabil pada Selasa berikutan jangkaan kumpulan pengeluar OPEC dan sekutunya akan mengekalkan bekalan bagi mengawal kejatuhan harga minyak dalam keadaan ekonomi yang bergerak perlahan dan semakin menjejaskan pertumbuhan permintaan bahan bakar.
Niaga hadapan bagi minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat berada di paras $53.42 setong, 16 sen atau 0.3% melebihi paras terakhir sebelum ini.
Harga jatuh sekitar 1% pada sesi sebelumnya dan pasaran niaga hadapan minyak mentah menurun pada kadar 20% dari paras tertinggi 2019 pada penghujung April, ditekan oleh penurunan ekonomi yang memberi kesan terhadap penggunaan minyak mentah.
Rusia pada Isnin berkata mereka berkemungkinan akan menyokong lanjutan pengurangan bekalan yang dilaksanakan sejak Januari, memberi petunjuk bahawa harga minyak bakal turun serendah $30 setong jika pengeluar membekal terlalu banyak minyak mentah dalam pasaran.
Organisasi gabungan negara-negara pengeksport petroleum (OPEC) bersama negara pengeluar berasingan termasuk Rusia, yang dikenali sebagai OPEC+ telah mengurangkan bekalan minyak mentah sejak awal tahun ini bagi mengawal harga minyak mentah untuk terus meningkat.
OPEC+ dijadualkan untuk mengadakan persidangan pada penghujung Jun atau awal bulan Julai untuk memutuskan polisi pengeluaran untuk tempoh baki tahun ini.
Pengerusi FGE, Fereidun Fesharaki dalam tulisan yang dipaparkan pada Selasa menyatakan pendapatnya bahawa berdasarkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta permintaan yang semakin menurun, tiada pihak yang akan mempertikaikan keputusan yang diterbitkan oleh OPEC+.