Perkembangan semasa bagi rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China dilihat agak terbatas selepas berita yang melaporkan keputusan rundingan agak mengecewakan.
Timbalan Presiden China, Liu He sebagai ketua rundingan dagang mengadakan pertemuan bersama Presiden Donald Trump bertempat di White House selepas rundingan minggu lalu telah berlangsung di Beijing.
Presiden Trump menyatakan rundingan perdagangan bersama China semakin menghampiri fasa akhir namun persetujuan masih belum dicapai lagi buat masa ini. Beliau turut mengatakan bahawa rundingan bakal berlarutan sekitar empat hingga enam minggu lagi.
Wakil rundingan perdagangan Amerika Syarikat, Robert Lighthizer pula berkata masih banyak isu utama dalam rundingan yang masih belum diselesaikan khususnya pada isu perlindungan harta intelek serta percukaian.
Media Xinhua China melaporkan Timbalan Presiden Liu He dalam pertemuan semalam telah menyampaikan beberapa kenyataan daripada Presiden Xi Jinping kepada Presiden Donald Trump.
Antaranya adalah Presiden Xi berharap Amerika Syarikat dan China akan meneruskan rundingan untuk mencapai kesepakatan. Selain itu juga, beliau menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah membentuk satu kemajuan rundingan yang baru melibatkan isu utama dalam teks perdagangan.
Namun, secara keseluruhannya para penganalisis masih melihat perkembangan yang baik bagi rundingan dagang walaupun proses rundingan masih belum selesai.
Pasaran akan memberi reaksi terhadap sebarang perkembangan yang dilaporkan pada rundingan dagang yang melibatkan dua ekonomi gergasi dunia itu. Perubahan sentimen dalam pasaran bakal mempengaruhi hampir kesemua dagangan matawang utama dalam pasaran kewangan.