Komen terbaru oleh Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA) susulan minit mesyuarat dikeluarkan sebentar tadi menyaksikan dagangan dolar Australia menjunam pada penghujung sesi pasaran Asia hari ini.
Gabenor Philip Lowe dalam ucapannya sebentar tadi menyatakan bahawa bank pusat akan mempertimbangkan pemotongan kadar faedah pada mesyuarat Jun nanti.
Kadar faedah yang rendah akan menyokong sektor pekerjaan dan membantu meningkatkan kadar inflasi ke arah sasaran bank pusat.
Dengan sasaran peningkatan pada pasaran buruh, kadar pengangguran disasarkan menurun lebih rendah di bawah paras 5%. Kadar pengangguran yang meningkat kepada 5.2% sebelum ini menjadi kebimbangan bank pusat pada laporan pekerjaan yang terbaru.
Dalam laporan minit mesyuarat yang dikeluarkan bank pusat Australia hari ini, penurunan pada kadar faedah adalah bersesuaian jika tiada peningkatan pada pasaran buruh ekoran laporan yang mengecewakan minggu lalu.
Ahli mesyuarat yakin penurunan kadar faedah akan memberikan impak yang lebih minima berbanding sebelum ini namun tekanan tetap dihadapi pada dagangan dolar AUD di samping mengurangkan pembayaran balik gadaian.
Dagangan pada pasangan matawang AUD/USD telah menunjukkan penurunan susulan minit mesyuarat RBA dikeluarkan pada sesi Asia. Penurunan diteruskan lagi selepas ucapan dovish dari Gabenor Philip Lowe yang memberikan isyarat penurunan kadar faedah oleh bank pusat pada mesyuarat Jun nanti.