Pasaran saham Asia mula perlahan pada Jumaat berikutan kebimbangan terhadap ketegangan antara Amerika Syarikat dan China kembali meningkat.
Pasaran sebelum ini menikmati kelegaan setelah Amerika Syarikat dan China mengumumkan gencatan perdagangan dan bersetuju untuk mengadakan rundingan semula ketika pertemuan di persidangan kemuncak G20 di Osaka Jepun baru-baru ini.
Apa pula isu yang timbul kali ini?
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam kenyataan pada akaun media sosial Twitter beliau pada Khamis menuduh bahawa China tidak menepati janji untuk meningkatkan pembelian barangan produk pertanian dari Amerika Syarikat.
“China mengecewakan kami apabila tidak membeli produk pertanian yang diusahakan oleh petani kami seperti yang dikatakan mereka sebelum ini”, berikut luahan oleh Trump.
Namun begitu, China menafikan bahawa mereka ada menyatakan janji sedemikian sebelum ini.
Dengan itu, pelabur menjangkakan isu ini berkemungkinan berpotensi untuk menjadi titik permulaan untuk perang dagang antara dua ekonomi besar dunia itu tercetus kembali.
Tumpuan pasaran pada hari ini juga akan terarah pada data imbangan dagangan China untuk bulan Jun, dengan penganalisis menjangkakan kadar eksport yang lemah berikutan penurunan pada permintaan global serta kenaikan tinggi oleh tarif Amerika Syarikat membebankan negara perdagangan terbesar di dunia itu.
Ekonomi China yang terjejas bakal mempengaruhi sentimen pasaran global dan antara yang turut menerima tempias adalah matawang komoditi seperti dolar Australia dan New Zealand.