Harga emas melonjak ke paras tertinggi dua minggu pada permulaan dagangan Khamis berikutan dolar Amerika Syarikat yang diniagakan lemah selepas data perumahan yang dikeluarkan semalam mencatatkan bacaan yang lemah berbanding jangkaan menguatkan lagi ramalan penurunan kadar oleh Federal Reserve.
Pasaran emas stabil dan bergerak sedikit rendah selepas mencecah paras ketinggian terbaru pada sekitar $1430.00 dan tertinggi sejak awal Julai.
Indeks dolar Amerika menurun 0.1% berbanding matawang utama yang lain pada Khamis membuatkan nilai logam kuning tersebut lebih murah dan menjadi tarikan pelabur.
Indeks tersebut pada sesi sebelum ini telah mencatatkan kenaikan tertinggi satu minggu disokong oleh data jualan runcit Amerika Syarikat yang lebih kukuh berbanding jangkaan. Namun, indeks kembali menurun selepas penurunan pada hasil pulangan didorong oleh pasaran perumahan yang merosot serta kebimbangan terhadap konflik dagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih berlarutan.
Fed dijangka bakal menurunkan kadar faedah kepada 25 mata asas pada mesyuarat polisi penghujung bulan ini, dengan sesetengah masih menjangkakan penurunan sehingga 50 mata asas.
Fed pada Rabu telah melaporkan bahawa ekonomi Amerika Syarikat terus berkembang pada kadar yang sederhana untuk beberapa minggu ini, dengan kadar perbelanjaan pengguna di Amerika turut positif walaupun dibebani oleh dasar perdagangan Amerika Syarikat.
Pada minggu sebelumnya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus memberi tekanan terhadap Beijing dengan ancaman mengenakan tarif terhadap tambahan $325 bilion barangan import China.
Pasaran Asia goyah pada awal dagangan Khamis ekoran pasaran Wall Street memberikan isyarat awal bahawa faktor perang dagang AS-China akan menjejaskan pendapatan korporat.