Setelah diniagakan lemah sejak awal dagangan minggu ini, namun matawang dolar Australia kembali mengukuh dengan peningkatan ketara ditunjukkan pada sesi pasaran Asia Khamis susulan laporan data pekerjaan Australia dikeluarkan.
Berdasarkan laporan, fokus terarah pada bacaan kadar pengangguran yang tidak dijangka mencatatkan angka menurun kepada 5.2% untuk September berbanding 5.3% iaitu paras tertinggi tahunan yang dicapai sebelum ini.
Jumlah individu menganggur berkurang kepada 8,100 orang sementara kadar pertambahan pekerjaan meningkat kepada 14,700 orang sedikit rendah berbanding jangkaan penurunan pasaran.
Ini juga akan mempengaruhi keputusan bank pusat dengan sektor pekerjaan yang positif bakal mengurangkan jangkaan untuk penurunan kadar faedah.
Dengan laporan pekerjaan yang dilihat positif, pergerakan harga pada carta pasangan matawang AUD/USD telah melonjak sekitar 40 pips pada sesi pasaran Asia pagi ini.
Kenaikan harga pada AUD/USD juga telah mendapat momentum sejak dari sesi New York sebelum ini berikutan penyusutan nilai dagangan dolar USD selepas bacaan data jualan runcit Amerika Syarikat untuk bulan September mencatatkan kejatuhan terbesar dalam tempoh 7 bulan.
Dengan momentum kenaikan yang berjaya dikekalkan, harga berpotensi untuk kembali mencapai paras resistance pada 0.68100 yang diuji pada penghujung minggu lalu. Harga yang berjaya menembusi paras tersebut bakal mencari paras ketinggian terbaru dan menguji zon resistance pada dagangan September.
Namun jika harga kembali membuat penurunan semula, zon RBS (resistance become support) sekitar 0.67450 akan menjadi destinasi awal tumpuan harga sebelum kembali menguji paras terendah mingguan pada 0.67230 atau zon RBS pada 0.67100.
Lihat gambar carta pasangan matawang AUD/USD di bawah untuk rujukan teknikal analisis anda.