Sentimen rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China agak bercampur-campur membuatkan pelabur lebih berwaspada pada dagangan penghujung minggu.
Walaupun Presiden AS Donald Trump serta pegawai rundingan yang lain menyatakan rundingan berada pada landasan yang betul, namun pasaran berhati-hati berikutan kenyataan China yang masih mendesak untuk penghapusan tarif bagi mencapai kesepakatan perjanjian.
Justeru, dagangan dolar USD diniagakan lemah ekoran dibebani oleh risiko rundingan dagang tersebut.
Tambahan lagi, pelabur turut menantikan laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat dengan jangkaan peningkatan pada bacaan pertambahan pekerjaan bagi bulan November.
Namun, laporan data pekerjaan ADP yang mengukur pertambahan dalam sektor swasta diterbitkan lemah membuatkan pelabur mengambil langkah berjaga-jaga dengan kemungkinan jangkaan tersasar dari bacaan sebenar.
Sementara itu, dolar Euro ditekan oleh bacaan data perindustrian Jerman yang diterbitkan pada awal sesi Eropah dengan angka yang lemah.
Meneliti pergerakan harga pada carta pasangan matawang EUR/USD, harga dilihat membuat kenaikan semalam bergerak lebih tinggi dari paras garisan sokongan Moving Average 50 (MA50).
Harga bergerak lebih tinggi menuju paras ketinggian yang dicapai ketika lonjakan Rabu lalu yang melepasi paras harga 1.11100.
Pada dagangan EUR/USD hari ini, harga bergerak perlahan dan mendatar sejak sesi Asia bermula sehingga pasaran bersambung pada sesi Eropah. Harga berlegar dalam julat harga 1.11000 dan 1.11100.
Bergantung pada laporan data pekerjaan NFP malam ini, jika data diterbitkan kukuh harga bakal menjunam melepasi zon RBS (resistance become support) 1.10900 menuju paras tumpuan lebih rendah pada 1.10400.
Pengukuhan ketara dolar USD akan mendorong harga turun sehingga mencecah zon support di sekitar bawah paras 1.10000.
Sebaliknya jika laporan diterbitkan lemah, harga bakal melonjak lebih tinggi dengan jangkaan destinasi tumpuan terdekat adalah pada zon SBR (support become resistance) pada 1.11400.
Kenaikan lebih tinggi akan menguji zon resistance pada dagangan Oktober lalu sekitar paras ketinggian 1.11800.
Lihat gambar carta pasangan matawang EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.