Pasaran forex pada hari ini bergerak agak perlahan hari ini dengan ketiadaan data-data ekonomi dalam kalendar sesi Eropah serta cuti umum di Amerika Syarikat.
Matawang AS Dolar menunjukkan kelemahan ekoran harapan tinggi pasaran bahawa A.S. dan China akan mencari jalan untuk mengatasi perang perdagangan mereka. Hal ini merupakan pemacu utama kenaikan pasaran sesi Asia dengan Nikkei 225 dan indeks Hang Seng meningkat sebanyak 1.5%.
Beralih kepada Sterling pula, matawang itu melonjak tinggi pada permulaan dagangan minggu ini selepas mengalami kerugian tiga minggu berturut-turut susulan isu Brexit yang masih lagi menemui jalan buntu..
Perdana Menteri Theresa May dikhabarkan sedang berusaha untuk berbincang dengan semua pemimpin Kesatuan Eropah dan ketua Suruhanjaya Eropah untuk mendapatkan perjanjian Brexitnya.
Dalam perkembangan matawang Euro pula, prestasi Euro telah meningkat selepas terjebak dalam julat dagangan yang merosot sejak November lalu atas faktor kemelesetan ekonomi zon Eropah. Pemulihan Euro ini dilihat sebagai pergerakan sementara selepas dibantu oleh sentimen yang kembali positif apabila konflik perdagangan AS-China dijangka dapat diselesaikan dengan baik.