Dolar Kanada didagangkan lemah sejak minggu lalu berikutan kemerosotan pada pasaran minyak mentah terutamanya terjejas ekoran isu rundingan dagang AS-China.
Sebagai dua negara pengguna terbesar minyak dunia, sentimen rundingan Amerika Syarikat dan China mempengaruhi pasaran termasuk komoditi yang lain.
Ketidaktentuan pada laporan-laporan yang berlegar dalam pasaran meningkatkan kebimbangan para pelabur sekaligus turut memberi kesan terhadap unjuran permintaan minyak mentah.
Selain itu, kebimbangan terhadap lebihan bekalan minyak mentah dalam pasaran turut menjadi faktor yang perlu difokuskan.
Menjelang mesyuarat negara-negara OPEC pada Disember ini di Viena, OPEC+ dilaporkan tidak akan meningkatkan kadar pengurangan pengeluaran minyak mentah.
Faktor-faktor tersebut telah memberi tekanan terhadap dagangan Loonie dengan melihatkan pergerakan harga pada carta pasangan matawang USD/CAD mencatatkan paras ketinggian terbaru sejak pertengahan Oktober lalu.
Setelah dua minggu menguji paras ketinggian 1.32000, akhirnya harga telah berjaya menembusi zon resistance tersebut pada Jumaat mencatatkan paras ketinggian terbaru hampir mencecah paras 1.32400.
Permulaan dagangan pada awal minggu ini melihatkan harga masih bergerak perlahan di paras ketinggian tersebut dari awal sesi Asia bermula bersambung pada sesi pasaran Eropah.
Penurunan harga dijangka akan kembali menguji paras 1.32000 membentuk zon RBS (resistance become support) yang baru pada carta USD/CAD, sebelum harga kembali membuat kenaikan semula.
Jika penurunan diteruskan, paras 1.31800 akan cuba dilepasi harga sebelum menuju zon support lebih rendah di sekitar paras 1.31200.
Namun jika sentimen pasaran minyak kekal lemah, harga berpotensi untuk melonjak lebih tinggi melepasi paras ketinggian yang dicapai Jumaat lalu didorong dagangan Loonie yang melemah.
Lihat gambar carta pasangan matawang USD/CAD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.