Ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China telah menimbulkan kebimbangan terhadap kegawatan ekonomi di Amerika dengan majoriti undian oleh ahli ekonomi menjangkakan Federal Reserve (Fed) akan mengurangkan lagi kadar faedah pada September ini dan sekali lagi pada tahun hadapan.
Menurut undian yang dijalankan, kebarangkalian semakin meningkat untuk jangkaan ekonomi Amerika Syarikat akan terjerumus ke arah kegawatan untuk tempoh 2 tahun akan datang.
Pada minggu lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan 10% tarif tambahan akan dikenakan ke atas $300 bilion dolar barangan import China bermula 1 September dan Washington turut melabelkan Beijing sebagai pemanipulasi matawang.
Ketegangan yang berlaku telah memberi kesan buruk terhadap kedua-dua matawang ekonomi gergasi dunia itu.
China bertindak untuk membenarkan nilai Yuan berada pada tahap yang rendah berbanding dolar AS sebagai respon terhadap pengumuman tarif Trump.
Perkembangan pada data ekonomi China, bacaan bagi indeks harga pengeluar telah mencatatkan penurunan ke paras terendah pertama kali sejak 3 tahun dan meningkatkan kebimbangan terhadap deflasi.
Faktor tersebut juga telah menambahkan lagi tekanan buat Beijing untuk mempertingkatkan rangsangan ekonomi dalam ketidaktentuan yang melanda ekoran perang dagang yang berlanjutan.
Berikutan permintaan yang perlahan dari dalam dan luar negara, pengeluar di China harus menurunkan harga untuk mengekalkan penguasaan pasaran, mengurangkan margin keuntungan dan mengecilkan pelaburan baru untuk mendapatkan kembali rentak ekonomi.