Menurut jurucakap White House, perjanjian perdagangan antara AS dan China mungkin tidak dapat disiapkan untuk ditandatangani di Chile pada bulan depan. Ketidakpastian ini telah memberi kesan kepada penyusutan USD berbanding yen pada dagangan awal sesi Asia.
Sentimen bertukar suram dengan tumpuan pasaran turut memfokuskan kepada mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada awal pagi esok. Fed sememangnya dijangka oleh ramai pihak bahawa mereka akan menurunkan kadar faedah buat kali ketiga dalam tahun ini.
Indeks dolar mendatar berbanding enam matawang utama lain yang turut dipengaruhi oleh kemerosotan dalam laporan keyakinan pengguna AS bagi bulan Oktober.
Selain itu, harapan untuk UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) dengan perjanjian telah menyokong pergerakan matawang pound untuk diniagakan mengukuh pada sesi Asia pagi ini.
Terdahulu, dagangan pound dan euro berbanding USD melonjak susulan kelulusan Dewan Rakyat terhadap rang undang-undang PM UK Boris Johnson dan tarikh pilihan raya umum ditetapkan pada 12 Disember ini sebelum kembali menyusut berikutan kebimbangan terhadap hasil pilihan raya yang tidak menentu.
Sementara itu, dolar Australia berbanding USD mengukuh selepas kadar inflasi Australia pada suku ketiga meningkat lebih baik daripada yang dijangkakan.
Kadar inflasi tahunan di Australia dicatatkan meningkat sehingga 1.7% pada suku September 2019 berbanding 1.6% pada tempoh yang sama tahun lalu. Angka ini adalah kadar inflasi tertinggi dicatatkan sejak suku keempat tahun lepas.
Peningkatan ini mungkin akan mempengaruhi pasaran untuk menilai prospek penurunan kadar selanjutnya oleh Reserve Bank of Australia (RBA) pada bulan November.