Sentimen kekal berhati-hati dengan majoriti matawang utama didagangkan rendah di sesi Asia hari ini, susulan perkembangan terbaru mengenai perjanjian perdagangan yang perlu ditandatangani oleh dua negara ekonomi gergasi mungkin akan ditangguh sehingga Disember.
Berdasarkan kenyataan pegawai kanan pentadbiran Trump, penangguhan pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping untuk menandatangani perjanjian tersebut adalah disebabkan perbincangan mengenai terma dan tempat pertemuan masih belum menemui kata putus.
Sudah banyak tempat yang dicadangkan untuk pertemuan tersebut, yang pada mulanya ditetapkan di sidang kemuncak pemimpin Asia Pasifik di Chile, namun telah dibatalkan. Antara lokasi yang mungkin dipilih adalah London di mana kedua-dua pemimpin itu dapat bertemu selepas sidang kemuncak NATO yang akan dihadiri oleh Trump pada 3 hingga 4 Disember.
Berikutan daripada itu, dolar Amerika menyusut berbanding yen dan lemah berbanding kumpulan matawang utama lain kecuali matawang loonie dengan indeks dolar yang mengukur dolar greenback susut kepada 97.95.
Dolar Australia merupakan antara matawang yang paling sensitif kepada perkembangan perdagangan tersebut selain euro, pound dan kiwi juga turut menyusut. Kelemahan dalam data ekonomi di New Zealand dan Canada turut menambah tekanan kepada matawang negara itu.
Sementara itu mengikuti perkembangan di Eropah, dagangan pound menyusut berbanding USD menjelang mesyuarat Bank of England (BoE) pada malam ini. Tiada perubahan polisi yang dijangkakan, namun pelabur akan memfokuskan kepada bagaimana BoE akan bertindak balas terhadap ketidakpastian yang dicetuskan oleh Brexit.
Bagaimanapun, dengan jualan runcit yang tidak berubah, peningkatan kadar pengangguran, pertumbuhan pendapatan perlahan dan kenaikan indeks harga pengguna yang sederhana sejak mesyuarat polisi BoE yang lalu, mungkin akan diambil kira dalam penetapan malam ini.
Pilihan raya umum UK kekal menjadi tumpuan penggerak pasaran, yang akan menentukan sama ada Parti Konservatif akan terus memerintah untuk mendapatkan Brexit pada tarikh akhir 31 Januari 2020.