Dolar Kanada susut berbanding US dolar selepas data yang diterbitkan oleh Statistik Kanada menunjukkan ekonomi Kanada pada bulan Oktober tanpa dijangka menguncup buat kali pertama sejak penurunan yang dialami pada Februari lalu.
Pertumbuhan GDP menyusut sebanyak 0.1%, tersasar daripada jangkaan untuk kekal dengan peningkatan 0.1% iaitu tidak berubah dari bacaan pada bulan September yang didorong oleh kemerosotan dalam sektor perkilangan.
Angka pertumbuhan ini merupakan salah satu siri data yang mengecewakan pasaran dan para penganalisis mengatakan ia boleh memberi tekanan kepada Bank Pusat Kanada (BOC) untuk mengurangkan kadar faedah.
Pergerakan dolar Amerika berbanding safe-haven yen agak terbatas berikutan laporan Global Times China yang menyatakan bahawa keputusan China untuk mengurangkan tarif import ke atas lebih 850 barangan adalah bukan daripada hasil rundingan perdagangan tetapi untuk membuka pasaran domestik yang lebih besar.
Laporan minit mesyuarat oleh Bank Pusat Jepun (BOJ) pula gagal merangsang pergerakan yen meskipun para penggubal dasar bersetuju bahawa momentum ke arah mencapai sasaran kestabilan harga tidak akan hilang, menunjukkan bank pusat itu tidak akan melonggarkan dasar monetarinya dalam masa terdekat.
Mengikuti perkembangan di Eropah, dagangan matawang pound terus lemah dengan diniagakan ke paras terendah tiga minggu berbanding dolar USD ditekan oleh kebimbangan yang semakin meningkat terhadap no deal Brexit.
Sementara itu, dolar Australia terus mengukuh menghampiri paras tertinggi 4 setengah bulan berikutan perkembangan perdagangan yang optimis selepas China mengumumkan pengurangan tarif ke atas beberapa barangan importnya. Ia juga turut memberi manfaat buat dolar New Zealand untuk diniagakan tinggi berbanding US dolar.