Matawang Dolar AS diniagakan rendah pada hari terakhir dagangan minggu ini dan merupakan kejatuhan mingguan terbesar dalam tempoh 3 bulan sebelum mesyuarat Federal Reserve pada minggu depan di mana para penggubal dasar akan memberikan lebih banyak gambaran mengenai hala tuju bank pusat khususnya kadar faedah.
Pound Sterling juga merosot pada dagangan hari ini memandangkan para pelabur masih ragu-ragu terhadap hal Brexit di mana Perdana Menteri Theresa May sekali lagi meminta penggubal undang-undang Britain untuk mengundi perjanjian Brexitnya buat kali ketiga pada Rabu depan.
Di zon Eropah pula, kadar inflasi disahkan pada kadar 1.5% untuk bulan Februari 2019, tidak berubah dari anggaran awal dan sedikit di atas paras 9 bulan terendah yang di catatkan pada Januari iaitu 1.4%.
Berbalik pada sesi Asia, data perkilangan PMI New Zealand naik kepada 53.7 pada Februari 2019 daripada 53.1 pada bulan sebelumnya. Komponen pengeluaran hadir pada 53.9 dan pesanan baru pada 54.7, kedua-duanya meningkat selepas penurunan mendadak pada Januari, manakala komponen pekerjaan menurun 1.2 mata kepada 50.8.
Sementara itu, Bank of Japan mengekalkan kadar faedah pada paras -0.10% seperti jangkaan dan merendahkan pandangan mengenai keluaran dan sektor eksport ekoran pertumbuhan global yang perlahan.