Sesi pasaran Asia hari ini dikejutkan oleh keputusan pada mesyuarat polisi monetari bank pusat New Zealand untuk Ogos dengan memberi impak ketara terhadap dagangan dolar New Zealand.
Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) telah menurunkan kadar faedah ke paras 1.00%, paras terendah terbaru dalam rekod sejarah yang pernah dicatatkan oleh penetapan bank pusat tersebut.
Penurunan sehingga 50 mata asas daripada paras 1.50% sebelum ini telah mengejutkan pasaran yang menjangkakan penurunan hanya 25 mata asas kepada 1.25%.
Sejurus keputusan penurunan kadar diumumkan, dagangan Kiwi terus menjunam pada carta harga berbanding pasangan matawang utama yang lain dengan terjunan pada carta NZD/USD telah mencecah paras terendah dalam tempoh 10 bulan dagangan ekoran penurunan kadar terbesar kali ini.
Kiwi dijangka akan terus lemah ekoran bank pusat telah mengemaskini semula unjuran kadar yang lebih rendah untuk Disember 2020 kepada paras 0.91% berbanding unjuran 1.36% sebelum ini.
RBNZ menyatakan bahawa paras neutral bagi kadar faedah adalah semakin rendah dan dengan pemotongan sehingga 50 mata asas adalah bersesuaian untuk menyokong kadar pekerjaan dan juga polisi inflasi.