Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Reuters, wakil-wakil utama Amerika Syarikat (AS) dan China sedang mengatur rundingan pada minggu hadapan bagi menyelesaikan perang dagang antara kedua-dua negara ekonomi besar tersebut yang telah berlangsung selama 1 tahun lebih.
Menurut penasihat ekonomi Rumah Putih, Larry Kudlow, rundingan tersebut akan diteruskan seawal minggu hadapan. Tambah wakil pegawai Badan Perdagangan AS, bahawa kedua-dua belah pihak sedang dalam proses mengatur jadual rundingan tersebut.
Menurut Kudlow, setakat ini belum ada tarikh tetap untuk rundingan secara bersemuka, namun hal ini akan berlaku tidak lama lagi dan akan diumumkan. Walaubagaimanapun, mereka akan berunding melalui telefon pada minggu hadapan dan akan menetapkan jadual rundingan bersemuka.
Pada bulan Mei yang lepas, rundingan kedua-dua belah pihak tidak berakhir dengan baik selepas wakil AS mengatakan China tidak berkomitmen dalam perjanjian yang telah disepakati. AS menuduh China membenarkan pencurian harta intelek dan memaksa syarikat AS berkongsi teknologi mereka degnan syarikat China jika ingin menjalankan perniagaan di China. Walaubagaimanapun, China telah menafikan hal tersebut.
Susulan daripada isu tersebut, kedua-dua negara telah menetapkan tarif baru dan meningkatkan tarif sedia ada.
Namun rundingan terkini antara Trump dan Xi berakhir dengan baik dan Trump bersetuju untuk menahan implimentasi tarif terhadap barangan China dan melonggarkan sekatan ke atas syarikat gergasi teknologi China.