Sentimen pasaran semasa masih kekal berisiko membuatkan dagangan Yen terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat.
Dolar USD diniagakan agak lemah pada dagangan Selasa berikutan tarikan pelabur tertumpu pada aset safe-haven dengan jangkaan pergerakan volatile harga selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk menaikkan kadar tarif terhadap barangan import China.
Berita yang terus menjadi tumpuan utama adalah pada perkembangan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Ancaman Presiden Trump telah dilihat menggugat perkembangan proses rundingan yang bakal diteruskan pada minggu ini. Namun, Beijing dilaporkan akan membatalkan rundingan yang dijadualkan pada hari ini di Washington.
Penganalisis pasaran berpendapat bahawa jika rundingan masih diteruskan, pasaran akan kekal tenang dan perjanjian akan dicapai juga pada akhirnya.
Beralih pada perkembangan Brexit, Pound Sterling pada minggu ini diniagakan lemah dengan kebimbangan pelabur terhadap proses rundingan Brexit tersebut serta kegoyahan Perdana Menteri Britain, Theresa May yang berdepan pelbagai cabaran dalam kepimpinannya.
Ahli parlimen berkemungkinan tidak berpuas hati dengan rundingan antara parti setakat ini dan dengan itu telah mendorong kejatuhan nilai dagangan GBP dalam situasi pasaran yang tidak menentu.
Matawang komoditi dolar Australia mengukuh pada sesi Asia semalam selepas kadar faedah yang dijangka menurun sebaliknya telah dikekalkan di paras 1.50% oleh bank pusat Australia pada mesyuarat dasar monetari yang berlangsung semalam.
Dengan kenyataan yang hawkish daripada bank pusat, nilai matawang AUD telah melonjak tinggi susulan keputusan mesyuarat dikeluarkan sebelum pergerakan harga mula mendatar pada sesi selepasnya.
Dagangan dolar New Zealand turut menerima tempias yang positif oleh pengukuhan Aussie atas faktor negara serantau. Namun, tumpuan lebih utama pada NZD untuk hari ini adalah penetapan kadar faedah dalam mesyuarat bank pusat pada jam 10 pagi sebentar lagi.
Jangkaan pasaran adalah kadar faedah bakal dikekalkan di paras 1.75% seperti sebelum ini. Pantau dagangan Kiwi menjelang keputusan mesyuarat dikeluarkan dan beri tumpuan juga terhadap kenyataan susulan oleh Gabenor bank pusat untuk mendapatkan isyarat kenaikan kadar yang seterusnya.