Permulaan dagangan pada minggu ini melihatkan pergerakan pasaran yang masih perlahan pada sesi Asia dengan sentimen pasaran yang berisiko sedikit reda dan nilai matawang dolar Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan sedikit pengukuhan.
Pemulihan pada sentimen pasaran disokong oleh kenaikan pada hasil pulangan bon 10 tahun AS daripada 1.52% kepada 1.55%.
Dolar AS pada penghujung minggu lalu menutup dagangan mingguan dengan penurunan ekoran sentimen keyakinan pengguna yang ditinjau oleh Universiti Michigan mencatatkan bacaan yang rendah berbanding bulan sebelum ini.
Penurunan tersebut kembali mengurangkan momentum pengukuhan dagangan USD selepas bacaan pada data jualan runcit AS mencatatkan bacaan data yang lebih baik mengatasi jangkaan pasaran.
Namun, faktor yang merunsingkan para pelabur adalah risiko terhadap kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat selepas penyongsangan hasil pulangan bon AS memberikan petunjuk awal yang kurang baik untuk ekonomi terbesar dunia itu.
Beberapa minit mesyuarat oleh bank pusat termasuk Reserve Bank of Australia (RBA) dan Federal Reserve (Fed) akan menjadi tumpuan pasaran pada minggu ini.
Perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China juga akan terus dipantau. Presiden AS Donald Trump juga dijangka akan memberikan keputusan kebenaran untuk syarikat-syarikat memulakan semula urusan perniagaan bersama syarikat teknologi gergasi China, Huawei.
Dan seterusnya, tumpuan pasaran minggu ini akan turut tertumpu pada Simposium Jackson Hole, yang bakal dihadiri oleh ahli-ahli bank pusat, Menteri-menteri kewangan serta individu-individu penting dalam pasaran kewangan dari seluruh dunia untuk berhimpun mengadakan perbincangan berkenaan isu-isu dalam pasaran global.