Dagangan Pound Sterling mencuri tumpuan pelabur pada sesi pasaran New York semalam setelah mempamerkan peningkatan yang kukuh berbanding hampir kesemua matawang utama yang lain.
Lonjakan sehingga 150 pips berbanding dolar Amerika Syarikat adalah susulan komen positif Canselor Jerman, Angela Merkel yang menyatakan sesuatu langkah akan diambil untuk menghalang situasi Brexit sukar dalam tempoh 30 hari.
Kenyataan tersebut telah melonjakkan dagangan GBP dengan keyakinan terhadap para pelabur kembali meningkat.
Sementara data ekonomi zon Eropah yang positif semalam gagal mengekalkan momentum kenaikan harga untuk dolar Euro yang sedikit meningkat sejurus data dikeluarkan, namun kembali bergerak lemah semula memasuki dagangan sesi New York semalam.
Debaran pasaran hari ini terarah pada ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) pada malam ini di simposium tahunan Jackson Hole, Wyongmin untuk pelabur mendapatkan petunjuk terhadap pendirian polisi monetari bank pusat.
Untuk sementara itu, dagangan dolar USD dijangka akan bergerak perlahan. Perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat bersama China akan terus dipantau.
Dagangan komoditi dilihat menyusut dengan nilai emas bergelut untuk kekal di sekitar paras 1500.00 sementara harga minyak mentah turut mencatatkan penurunan berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan.
Awal sesi pasaran Asia bermula hari ini menyaksikan data jualan runcit di New Zealand dikeluarkan. Bacaan data meningkat sedikit tinggi berbanding jangkaan penurunan oleh pasaran.
Dagangan dolar New Zealand juga turut mencatatkan kenaikan berbanding USD pada sesi Asia hari ini, meningkat dari paras terendah yang dicatatkan semalam, iaitu paras terendah sejak awal Januari 2016 di sekitar paras 0.63600.
Data tumpuan seterusnya hari ini akan memberi fokus terhadap data jualan runcit di Kanada pada jam 8.30 malam ini sebelum menyusul ucapan Jerome Powell pada jam 10.00 malam dan turut diiringi data jualan rumah baru di Amerika Syarikat.