Keyakinan pelabur terhadap pasaran saham Amerika Syarikat kembali meningkat susulan pengumuman yang dibuat presidennya Trump mengenai kesediaan China untuk kembali ke meja rundingan bagi meredakan kemelut yang terjadi sebelum ini.
Wall Street ditutup tinggi dimana indeks Dow Jones mencatatkan peningkatan 269.93 mata kepada 25,898.83 mata. S&P 500 turut merekodkan kenaikan 31.27 mata kepada 2,878.38 mata dan Nasdaq mengakhiri sesi dagangan dengan jumlah 7,853.74 mata, bertambah 101.97 mata.
Saham-saham yang terkenal seperti Amazon, Tesla, Disney dan Apple turut selari dengan pergerakan Walll Street. Amazon naik $19.25 ($1,176.87), Tesla naik $3.60 ($215.00), Disney naik $2.94 ($134.61) dan Apple naik $3.85 ($206.49).
Ketika persidangan G-7 yang berlangsung di Perancis, Trump menegaskan AS hanya akan bekerjasama dalam membuat perjanjian dagangan dengan pihak China jika ianya adil dan memberi faedah. Tambahnya lagi, satu pertemuan bersama Iran akan dilakukan dalam masa terdekat.
Perkara ini juga dilihat memberi impak yang positif di beberapa negara Eropah seperti Jerman dan Perancis dimana pasaran saham mereka masing-masing menunjukkan peningkatan.
Perang dagangan di antara AS-China semakin berterusan dimana minggu lalu kedua-dua negara memilih untuk menaikkan kadar tarif ke atas barangan import. China menaikkan tarif import ke atas barangan dari AS yang bernilai $75 bilion dan AS memberikan respon dengan menaikkan tarif ke atas barang dagangan dari China yang berjumlah $550 bilion.