Menteri Perdagangan Korea Selatan menyatakan bahawa negara itu merancang untuk menfailkan satu aduan kepada World Trade Organization (WTO) pada Rabu berikutan kawalan eksport Jepun yang semakin ketat serta menuduh Tokyo sebagai ‘diskriminasi’ dan ‘bermotifkan politik’.
Pada awal Julai yang lalu, Jepun telah menguatkuasakan pengawalan yang ketat terhadap eksport tiga bahan ke Korea Selatan yang digunakan dalam pembuatan cip telefon pintar. Hal ini disebabkan oleh pertikaian politik tentang pampasan bagi buruh paksa semasa penjajahan Jepun di Korea ketika perang dunia kedua.
Hubungan dua hala ini renggang apabila mahkamah Korea Selatan mengarahkan dua buah syarikat Jepun untuk membayar pampasan kepada pekerja semasa perang tersebut. Tindakan negara itu dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Tokyo. Menurut Jepun, isu pampasan tersebut telah selesai di bawah perjanjian 1965.
Firma Korea Selatan berdepan dengan masalah serius disebabkan oleh penghantaran ketiga-tiga bahan yang terjejas akibat pengawalan eksport Jepun. Kini, Jepun mengerah supaya para pengeksport memohon kebenaran setiap kali ingin membuat penghantaran sehingga mengambil masa 90 hari berbanding sebelumnya hanya dalam tempoh dua minggu.
Seterusnya, sebagai langkah pertama bagi penyelesaian isu tersebut, Korea Selatan bakal berunding dengan Jepun dan memohon untuk menghentikan kawalan eksport ini. Jika gagal, negara itu akan meminta wakil daripada WTO untuk mengendalikan isu tersebut. Rundingan dijangka akan mengambil masa selama 60 hari atau lebih.
Korea Selatan akan mengambil kira semua pilihan dalam respon terhadap keputusan Tokyo yang bakal menggugurkan Korea dalam senarai rakan dagangnya, dengan mengambil tindakan yang sama.