Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menyatakan pentadbiran beliau boleh mengikat perjanjian perdagangan bersama China sebelum pilihan raya presiden diadakan, ataupun kesepakatan mampu dicapai sehari selepas pengundi-pengundi di Amerika Syarikat keluar untuk mengundi.
Presiden yakin bahawa beliau bakal memenangi pilihan raya tersebut, namun pihak China berkemungkinan lebih menginginkan perjanjian dicapai bersama orang yang lain. Trump memberitahu China jika perjanjian dicapai selepas pilihan raya November 2020, itu akan lebih memudaratkan lagi buat Beijing berbanding perjanjian yang mampu dicapai pada waktu sekarang.
Trump berkata perjanjian akan dicapai tidak lama lagi, mungkin sebelum pilihan raya atau sehari selepas pilihan raya. Beliau mengatakan perjanjian yang akan dicapai ini adalah yang terbaik dan China juga mengetahuinya.
Komen Trump itu dikeluarkan susulan dua hari sebelum wakil rundingan dari Amerika Syarikat dan China dijadualkan mengadakan pertemuan secara bersemuka di Washington selepas dua bulan.
Perbincangan akan menjurus ke arah rundingan tahap tinggi pada awal Oktober nanti dengan harapan perang dagang yang berlarutan selama 14 bulan antara dua ekonomi terbesar dunia menemui jalan penyelesaian.
Para pelabur meletakkan harapan yang tinggi untuk kedua-dua negara mampu bertoleransi demi mencapai kesepakatan perjanjian dan mengurangkan risiko terhadap perdagangan global.
Jika rundingan masih menemui jalan buntu, sentimen pasaran dijangka akan kembali berisiko dengan dagangan safe-haven akan kembali menjadi tarikan para pelabur untuk pilihan aset yang lebih selamat.