Matawang safe-haven Yen Jepun dan juga Swiss franc didagangkan mengukuh pada Jumaat berikutan faktor rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang masih menimbulkan kebimbangan dalam pasaran.
Yen melonjak ke paras tertinggi tiga bulan berbanding dolar USD semalam sementara Swiss franc ke paras tertinggi tiga minggu dagangan dengan permintaan tinggi terhadap matawang safe-haven, dengan jangkaan ketegangan konflik dagangan AS-China akan terus meningkat dan menggugat kestabilan ekonomi global.
Rundingan dua hari bermula semalam di Washington dan para pelabur sedang menantikan laporan terbaru sama ada China dan pegawai rundingan Amerika mampu mencapai persetujuan rundingan bagi membendung isu peningkatan kadar tarif.
Pergerakan harga dalam pasaran minggu ini dilihat memberi reaksi daripada perkembangan pada rundingan tersebut. Terutamanya matawang dolar Amerika Syarikat yang terus mengalami penurunan sepanjang minggu.
Kelemahan matawang dolar USD tersebut turut melonjakkan dagangan Euro pada sesi New York semalam. Namun, pengukuhan Euro berkemungkinan bersifat sementara jika hanya bergantung pada kekuatan pada nilai dagangan USD.
Data ekonomi Amerika Syarikat semalam turut mencatatkan bacaan yang kurang memberangsangkan. Indeks harga pengeluar mencatatkan bacaan yang rendah seperti jangkaan manakala bacaan teras pula menunjukkan penurunan lebih rendah berbanding jangkaan pasaran.
Data imbangan dagangan Kanada juga mencatatkan bacaan yang lemah semalam melihatkan dagangan Loonie sedikit menurun semalam. Namun, CAD kembali mengukuh pada dagangan sesi Asia hari ini.
Matawang dolar AUD dan NZD masih didagangkan berisiko dalam pasaran berikutan sentimen pasaran risk-off yang tidak menyebelahi matawang komoditi ini. Namun, harga dilihat mula menunjukkan sedikit kenaikan berkemungkinan faktor aktiviti pengambilan posisi keuntungan pada penghujung minggu.
Pound Sterling masih bergelut dalam pasaran dan turut jatuh ke paras terendah bulan ini berikutan perkembangan rundingan Brexit masih tidak memberikan gambaran arah yang jelas.
Media British pada Rabu melaporkan bahawa rundingan Brexit semakin menuju ke arah kebuntuan menyebabkan GBP terus mengalami penurunan. Selain itu, tekanan terus dirasai dengan Perdana Menteri Theresa May yang digesa untuk mengesahkan tarikh akhir pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah.
Terus pantau perkembangan rundingan dagang AS-China yang bersambung pada hari ini di mana masih menjadi tumpuan utama dalam pasaran. Sentiasa peka terhadap perubahan sentimen pasaran untuk membantu anda mengawal risiko dalam pasaran setiap hari.