Carta pasangan matawang AUD/USD antara yang menjadi tumpuan pelabur pada sesi pasaran Asia hari ini berikutan fokus terarah pada mesyuarat dasar monetari bank pusat Australia (RBA) sebentar lagi.
Dengan jangkaan kadar faedah bakal dikekalkan oleh RBA untuk mesyuarat edisi November, para penganalisis pasaran akan memberi tumpuan terhadap kenyataan susulan bank pusat untuk unjuran polisi monetari yang akan datang.
Dagangan dolar Australia diniagakan lemah sejak semalam, permulaan yang kurang baik buat Aussie ekoran pasaran menyaksikan penurunan bacaan pada data jualan runcit Australia untuk bulan September.
Dilihat pergerakan harga pada carta AUD/USD sejak semalam, harga membuat penurunan 50 pips dari paras zon resistance sekitar 0.69250 kembali menguji paras support 0.68800 yang juga merupakan zon RBS (resistance become support).
Penurunan harga tersebut turut didorong oleh pengukuhan dolar USD berikutan laporan pada awal minggu berkenaan perkembangan positif rundingan dagang AS-China yang memulihkan sentimen pasaran semasa.
Pasaran kini menantikan keputusan mesyuarat dasar monetari RBA sebentar lagi untuk pergerakan harga yang lebih jelas.
Jika keputusan mesyuarat positif dan berjaya menyokong kembali pengukuhan dolar AUD, harga bakal kembali membuat kenaikan dan melepasi garisan halangan Moving Average 50 (MA50) sebelum menguji semula zon resistance di bawah paras 0.69300.
Namun jika sebaliknya yang berlaku, harga bakal meneruskan penurunan lebih rendah dari zon RBS 0.68800 dan berkemungkinan akan menuju paras-paras tumpuan harga yang lebih rendah sekitar 0.68300.
Penurunan lebih rendah akan menguji zon support pada 0.68100 yang gagal ditembusi harga pada dagangan penghujung Oktober yang lalu.
Nantikan keputusan mesyuarat polisi RBA dan lihat gambar carta pasangan matawang AUD/USD untuk rujukan teknikal analisis anda.