Permulaan pasaran untuk minggu ini masih perlahan pada awal sesi pasaran Asia bermula. Dagangan dolar Amerika Syarikat mencatatkan penurunan pada awal sesi selepas tumpuan pelabur terarah pada data GDP pada lewat dagangan Jumaat lalu.
Bacaa awal untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) di Amerika Syarikat berkembang pada kadar 2.1% untuk suku tahun kedua sedikit tinggi melebihi jangkaan pada kadar 1.8% oleh pasaran.
Hasil pulangan perbendaharaan 2-tahun Amerika Syarikat meningkat daripada kadar 1.85% kepada 1.88%. Sementara indeks dolar turut meningkat lebih tinggi 0.2%.
Data GDP disokong oleh perbelanjaan pengguna dan kerajaan di samping perbelanjaan isi rumah yang turut berkembang kepada 4.3%, catatan terbaik sejak akhir 2017. Perbelanjaan kerajaan berkembang pada kadar 5%, terpantas sejak pertengahan 2009.
Data yang positif tersebut mengimbang penurunan pada pelaburan perniagaan yang terjejas ekoran pertumbuhan global yang lemah dan juga faktor ketidaktentuan perdagangan.
Tumpun penting pada minggu ini akan terarah pada keputusan mesyuarat polisi monetari oleh Federal Reserve (Fed) dengan jangkaan besar-besaran oleh pasaran bahawa keputusan adalah bersifat dovish dan penurunan kadar faedah bakal dilaksanakan.
Namun, pergerakan harga dalam pasaran dilihat sejak beberapa minggu lalu telahpun menyerap ke arah jangkaan penurunan kadar tersebut. Dagangan USD bakal berisiko untuk diniagakan pada minggu ini dan dijangka pergerakan volatile harga akan berlaku.
Sebelum mesyuarat Fed, bank pusat Jepun akan terlebih dahulu mengumumkan polisi monetari pada mesyuarat untuk Julai ini dengan jangkaan Bank of Japan (BOJ) akan terus mengekalkan pendirian dasar yang longgar.
Pound Sterling pula masih kekal didagangkan berisiko pada minggu ini walaupun telah menunjukkan sedikit kenaikan pada minggu lalu setelah Boris Johnson diumumkan sebagai Perdana Menteri Britain yang baru.
Bank pusat England juga pada Khamis akan mengumumkan dasar polisi monetari setelah ahli bank pusat mengundi untuk penetapan kadar faedah.
Dan seterusnya, minggu ini yang juga memasuki bulan yang baru, pasaran akan berdepan data penting yang ditunggu-tunggu setiap bulan iaitu laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada Jumaat ini.
Pelabur akan lebih berwaspada mengharungi minggu yang agak bergelora kali ini dan dijangka pasaran akan menyaksikan beberapa pergerakan harga yang mengejutkan ekoran data-data berimpak tinggi sepanjang minggu.