Permulaan pasaran minggu ini menyaksikan dagangan AUD bermula lemah selepas data pengiklanan pekerjaan dikeluarkan. Iklan pekerjaan Australia di akhbar dan di internet menurun sebanyak 1.7% bulan ke bulan pada bulan Mac 2019, selepas penurunan 0.8% pada bulan sebelumnya dan merupakan kejatuhan bulan kelima berturut-turut. Ini sekaligus dapat menimbulkan keraguan tentang kadar pengambilan pekerja di negara itu.
Yen pula mengukuhkan kedudukan sebagai matawang terkuat pada sesi Asia atas faktor sentimen pasaran yang risk-off walaupun data keyakinan mencecah paras terendah dalam tempoh 3 tahun. Indeks Keyakinan Pengguna di Jepun jatuh ke 40.5 pada Mac 2019 daripada 41.5 pada bulan sebelumnya dan di bawah jangkaan pasaran sebanyak 42.3. Ini adalah bacaan terendah sejak Februari 2016.
Pembukaan pasaran Eropah pula melihat pergerakan matawang berjalan dengan agak pasif ekoran pelabur sedang berhati-hati terhadap minggu yang penting untuk Brexit. Kesatuan Eropah perlu membuat keputusan pada sidang kemuncak pada Rabu ini samaada ia bersedia untuk melanjutkan tarikh akhir Brexit yang sepatutnya berlaku pada Jumaat ini.
Indeks matawang USD pula didagangkan sedikit mendatar selepas laporan menunjukkan pertumbuhan gaji di Amerika Syarikat adalah perlahan daripada jangkaan pasaran. Laporan ini menambah sokongan bahawa Rizab Persekutuan tidak akan menaikkan kadar faedahnya tahun ini dan mungkin juga diturunkan.