Pada Selasa, Chainalysis telah mengeluarkan laporan 2020 Global Crypto Adoption Index, menyenaraikan 154 negara yang membudayakan penggunaan matawang kripto.
Laporan tersebut bertujuan untuk melihat sejauh mana aktiviti matawang kripto bagi sesebuah negara berdasarkan jumlahnya dan nilai tunai pada peringkat umum di dalam negara.
10 negara teratas mencatatkan rekod aktiviti kripto yang tinggi bermula dengan Ukraine sebagai negara pertama, diikuti dengan Rusia, Venezuela, China, Kenya, Amerika Syarikat (AS), Afrika Selatan, Nigeria, Colombia dan Vietnam.
Manakala, aktiviti kripto terendah adalah dari negara Afghanistan, Algeria, Cape Verde, Chad, Fiji, Laos, Libya, Mongolia, Tajikistan, Turkmenistan, West Bank & Gaza dan akhir sekali, Zimbabwe.
Indeks penggunaan kripto terdiri daripada 4 metriks dengan pengiraan adalah berdasarkan anggaran jumlah matawang kripto yang diterima oleh negara itu.
Kemudian, jumlah tersebut akan ditimbang nilai on-chain berdasarkan PPP per kapita yang bersandarkan kepada jumlah kekayaan negara per penduduk.
Ini bermakna, semakin tinggi nisbah nilai on-chain yang diterima PPP per kapita, semakin tinggi kedudukan negara itu. Jika terdapat dua negara memiliki nilai matawang kripto yang sama, negara dengan PPP per kapita yang lebih rendah akan mendahului.
Kementerian Transformasi Digital Ukraine memandang keputusan laporan Chainalysis sebagai satu tanda positif, meletakkan harapan terhadap rang undang-undang aset maya akan dipertimbangkan di parlimen pada bulan ini.