Dolar Kanada diperdagangkan menguat berbanding US dolar setelah disokong oleh keyakinan terhadap hasil positif ujian vaksin Covid-19 dan keputusan Bank of Canada (BOC) dalam mesyuarat polisi malam tadi.
Bank pusat memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah pada 0.25% sehingga ekonomi negara menunjukkan peningkatan dan tidak akan meningkatkan pembelian bonnya.
Gabenor Tiff Macklem memberitahu dalam kenyataan susulan bahawa pertumbuhan ekonomi akan mengambil masa yang lama, lebih-lebih lagi dengan keadaan di Amerika Syarikat yang masih menyaksikan peningkatan kes Covid-19.
Dengan risiko ancaman gelombang kedua wabak pandemik Covid-19 yang sedang berlaku sekarang, BOC juga sedikit berhati-hati dalam menentukan unjuran pertumbuhan ekonomi terbarunya.
Dalam prospek ekonomi yang diperbaharui, bank pusat menjangkakan ekonomi akan menguncup sebanyak 7.8% pada tahun ini, didorong oleh penguncupan sebanyak 14.6% pada suku kedua.
Bagi tahun 2021 pula, ekonomi Kanada diunjurkan berkembang sebanyak 5.1% dan dijangka akan mencapai tahap pra-Covid pada tahun 2022.
Berikutan daripada ketidakpastian di Amerika Syarikat, pandangan dovish BOC tidak mengejutkan pasaran, tetapi keuntungan yang diraih dolar loonie menunjukkan kelegaan pelabur terhadap penilaian positif bank pusat ke atas ekonomi Kanada.
Selain itu, keyakinan terhadap hasil positif ujian vaksin Covid-19 oleh Moderna Inc masih lagi menyokong sentimen ke atas matawang berisiko dengan memperlihatkan dagangan USD sebagai safe-haven terus lemah di sekitar paras terendah 1 bulan.
Setakat ini, dolar greenback telah mencatatkan penyusutan sebanyak 0.6% pada minggu ini dan didagangkan di sekitar 96.019 berbanding enam matawang utama pada sesi Asia hari ini.