Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Pertumbuhan GDP China (Isnin 10.00 Pagi): Pasaran bakal menjangkakan peningkatan untuk pertumbuhan ekonomi di China bagi suku tahun ketiga berdasarkan bacaan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas meningkat pada suku sebelumnya.
Minit Mesyuarat Polisi Bank Pusat Australia (Selasa 8.30 Pagi): Reserve Bank of Australia (RBA) telah mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada mesyuarat terbaru namun memberikan isyarat bahawa kadar faedah bakal diturunkan selepas ini di samping pelonggaran polisi yang akan dilanjutkan.
Data Inflasi UK (Rabu 2.00 Petang): Indeks harga pengguna di UK menunjukkan penurunan pada Ogos namun dijangkakan akan kembali meningkat untuk bulan September. Namun, peningkatan penularan pandemik di UK berkemungkinan akan turut menjejaskan kadar inflasi UK.
Data Inflasi Kanada (Rabu 8.30 Malam): Kadar inflasi pengguna di Kanada mencatatkan penurunan ke paras terendah pada data yang diterbitkan September lalu berikutan ekonomi yang terjejas dengan krisis pandemik. Mampukan inflasi Kanada kembali meningkat untuk bulan September?
Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan Eropah (Jumaat 4.00 Petang): Menjadi tumpuan pada dagangan penghujung minggu, data pembuatan dan perkhidmatan bermula dengan Perancis, disusuli Jerman sebelum bacaan data Eropah diterbitkan. Bacaan data bakal menggerakan dagangan matawang Euro dalam pasaran.
Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan UK (Jumaat 4.30 Petang): Bacaan data aktiviti ekonomi di Eropah dijangka sedikit menurun pada bulan Oktober berikutan kes jangkitan virus yang semakin meningkat yang mendorong sekatan pergerakan diadakan semula.
Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan AS (Jumaat 9.45 Petang): Turut menjadi tumpuan sebelum dagangan minggu ini menutup tirai adalah data pembuatan dan perkhidmatan di Amerika Syarikat bagi menilai kesihatan aktiviti ekonomi dalam berdepan situasi penularan terbaru jangkitan Coronavirus.