Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data PMI Pembuatan AS Tinjauan ISM (Isnin 11.00 Malam): Walaupun berdepan gelombang pandemik terbaru serta ketidaktentuan politik di AS, aktiviti ekonomi masih menunjukkan bacaan yang baik dengan tinjauan pada sektor pembuatan kekal pamerkan pengembangan sejak 4 bulan lalu. Bacaan data tinjauan terbaru dijangka kekal positif.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat Australia (Selasa 11.30 Pagi): Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan menurunkan kadar faedah kepada 0.10% berbanding paras terendah sebelum ini pada 0.25%. Dengan jangkaan pelonggaran polisi lebih lanjut akan memberi kesan kejatuhan nilai buat dolar Aussie.
Data PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (Rabu 11.00 Malam): Sektor perkhidmatan AS telah pamerkan bacaan data yang positif sejak 4 bulan lalu dengan bacaan dilihat lebih baik berbanding sektor pembuatan. Bacaan terbaru juga dijangkakan akan turut meningkat.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat England (Khamis 8.00 Malam): Bank of England (BOE) dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah di paras 0.10% pada mesyuarat terbaru dan turut mengekalkan pelonggaran kuantitatif dengan jumlah £745 bilion.
Mesyuarat FOMC (Jumaat 3.00 Pagi): Pelabur akan memberi tumpuan terhadap keputusan mesyuarat FOMC untuk petunjuk oleh Federal Reserve (Fed) dalam menangani krisis ekonomi yang melanda.
Laporan Data Pekerjaan NFP AS (Jumaat 9.30 Malam): Pekerjaan pada bulan September susut lebih rendah berbanding jangkaan dengan pertambahan dicatatkan sekitar 661,000 menjadikan penurunan untuk 3 bulan berturut-turut. Pertambahan pekerjaan pada bulan Oktober dijangka perlahan di sekitar paras tersebut sementara kadar pengangguran dijangka akan menurun.
Laporan Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 9.30 Malam): Turut diterbitkan bersama data NFP adalah laporan data pekerjaan di Kanada untuk bulan Oktober selepas peningkatan yang dipamerkan pada September lalu akan memberikan momentum yang positif. Kadar pengangguran turut menunjukkan corak penurunan selama 4 bulan berturut-turut.