Dagangan matawang utama kembali mempamerkan kenaikan pada sesi Eropah sementara US dolar pula susut lebih rendah, ketika pelabur terus memantau perkembangan mengenai rundingan rangsangan fiskal AS.
Indeks dolar didagangkan lebih rendah 0.15% berbanding sekumpulan matawang utama, menuju kepada kerugian mingguan setelah jatuh ke paras terendah tujuh minggu pada Rabu.
Tumpuan pasaran seterusnya akan terarah kepada penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat malam ini.
Matawang euro menokok tinggi pada awal sesi Eropah setelah disokong oleh data pembuatan yang tanpa dijangka menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh sejak April 2018 pada bulan Oktober.
Bagaimanapun, kejatuhan ketara dalam aktiviti perniagaan di Perancis dan Jerman yang menunjukkan kesan gelombang kedua Covid-19 di dua ekonomi terbesar blok itu, telah menambah kebimbangan pasaran.
Sementara matawang pound pula meningkat sedikit menyusuli kemerosotan US dolar, namun pergerakan harga agak terbatas disebabkan data PMI pembuatan dan perkhidmatan yang kurang memberangsangkan.
Dalam pada itu, UK dilaporkan telah menandatangani perjanjian perdagangan pasca-Brexit dengan Jepun. Bagaimanapun, pound gagal memberi reaksi terhadap laporan tersebut.
Di sisi lain, dolar Aussie dan dolar New Zealand pula meningkat lebih tinggi ketika sesi Eropah, dengan masing-masing mencatatkan peningkatan lebih 1% untuk minggu ini berikutan kelemahan USD.
Matawang komoditi, dolar Kanada turut meningkat pada sesi Eropah dengan dagangan minyak mentah juga mencatatkan peningkatan sederhana, menyusuli kemerosotan US dolar.