Dagangan emas hitam memanjangkan peningkatan menghampiri paras ketinggian dua bulan selepas Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan kejatuhan lebih besar daripada dijangkakan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat.
Menurut API, inventori minyak mentah AS jatuh sebanyak 5.15 juta tong pada minggu lepas, di mana stok petrol dan diesel juga menunjukkan penurunan.
Bacaan ini merupakan kejatuhan besar kedua berturut-turut dalam bekalan AS setelah ia mencatatkan kemerosotan sebanyak 8 juta tong pada minggu sebelumnya.
Pada sesi pasaran Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan meningkat 1% kepada $44.06 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula menokok 1.1% kepada $41.83 setong.
Harga minyak yang sebelum ini telah meningkat lebih 11% setelah disokong oleh pemilihan Joe Biden sebagai presiden dan laporan positif mengenai vaksin Covid-19 oleh Pfizer, terus mencatatkan kenaikan lebih tinggi untuk meningkat ke paras tertinggi sejak awal September.
Tumpuan utama seterusnya bagi pasaran minyak mentah adalah mesyuarat OPEC+ pada akhir bulan ini, di mana ia akan memutuskan sama ada akan menangguhkan rancangan untuk melonggarkan pemotongan pengeluaran atau tidak.