Kenyataan Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA), Philip Lowe terus menambah luka buat dagangan dolar Aussie untuk menjunam lebih rendah ketika permulaan pasaran sesi Asia hari ini.
Ketika memberi ucapan di Sydney pada awal pagi ini, Gabenor Lowe menyatakan bahawa pembelian bon dan penurunan kecil kadar faedah adalah antara pilihan bank pusat untuk menyokong dasar semasa pemulihan.
Menurut beliau, RBA kini sedang mengkaji kepentingan daripada pembelian bon kerajaan yang lebih lama sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan monetari untuk meningkatkan pekerjaan dan pertumbuhan.
Bank pusat dikatakan sedang menilai adakah memperluaskan program pembelian bon sedia ada dengan memasukkan tempoh matang yang lebih lama akan membantu matlamat utama RBA untuk mewujudkan pekerjaan.
Niaga hadapan bon 10 tahun telah melonjak ke paras tertinggi sejak April pada 99.225 susulan kenyataan ini.
Selain itu, Gabenor Lowe turut memberi isyarat untuk penurunan kadar faedah dari paras terendah semasa 0.25%, dengan mengatakan pelonggaran monetari akan menjadi lebih efektif ketika ekonomi beransur-ansur melonggarkan sekatan coronavirus.
Ekoran daripada itu, dolar Aussie jatuh 0.57% dan diniagakan di sekitar 0.7137 berbanding US dolar.
Matawang itu gagal memanfaatkan peluang kenaikannya walaupun diperlihatkan dengan data pekerjaan yang melebihi jangkaan pasaran. Kadar pengangguran Australia mencatatkan peningkatan pada 6.9% daripada bacaan terdahulu 6.8%, dan tersasar dari jangkaan untuk kenaikan 7.0%.