Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) akhirnya berjaya mencapai kesepakatan bersejarah dalam pelan dana pemulihan Eropah € 750 bilion ketika rundingan memasuki hari kelima di Brussels.
Presiden Majlis Eropah, Charles Michel yang juga mempengerusikan sidang kemuncak EU memberitahu perkara tersebut melalui satu ciapan di laman twitternya iaitu “Deal!”, sebaik sahaja kesepakatan itu dicapai.
Sidang kemuncak EU yang sepatutnya berlangsung selama 2 hari sahaja, telah dilanjutkan sehingga hari kelima berikutan perbezaan pendapatan antara 27 pemimpin EU dalam menentukan cara membahagikan jumlah antara geran dan pinjaman.
Bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju dengan cadangan yang diusulkan Michel untuk mengagihkan €390 bilion bagi pemberian dalam bentuk geran dan €360 bilion dalam bentuk pinjaman.
Selain itu, EU juga dikatakan bersetuju untuk membayar semua hutang baru sebelum tahun 2058.
Itali, antara negara yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 mungkin akan menjadi penerima manfaat terbesar dari pelan pemulihan ini dan dijangka menerima geran sekitar €82 bilion dan kira-kira €127 bilion pinjaman, menurut anggaran awal.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron selaku tulang belakang yang menjayakan pelan pemulihan ini menyifatkan kesepakatan yang dicapai itu adalah sangat bersejarah dan yakin ia dapat membantu memerangi cabaran Covid-19.