Syarikat pengendali TikTok, ByteDance dikatakan bersetuju menjual operasinya di Amerika Syarikat (AS) kepada Oracle Corp, dedah seorang sumber yang terlibat dalam urusan rundingan tersebut.
Menurut sumber berkenaan seperti dipetik oleh Reuters, Oracle akan menjadi rakan teknologi ByteDance dan bakal mengendalikan data pengguna TikTok di AS.
Bagaimanapun sumber tersebut tidak mendedahkan sebanyak mana pegangan saham ByteDance dan para pelaburnya selepas dijual kepada Oracle.
Urusan penjualan itu memerlukan persetujuan daripada AS dan China. Setakat ini, masih belum diketahui sama ada Presiden AS, Donald Trump akan meluluskan rundingan penjualan yang dicadangkan oleh ByteDance.
Pendedahan tersebut turut dikuatkan dengan kenyataan daripada Microsoft bahawa ByteDance tidak berniat mahu menjual operasi TikTok di AS kepada syarikat teknologi itu.
ByteDance berdepan tekanan untuk menjual operasinya di AS selepas Trump mengeluarkan arahan eksekutifnya baru-baru ini.