US dolar terus didagangkan menguat di sekitar paras tertinggi enam minggu yang dicapainya ketika pembukaan sesi pasaran Eropah berbanding kebanyakan matawang utama pada 93.848.
Matawang berisiko pula terus mencatatkan kerugian dengan dolar Aussie jatuh menghampiri paras terendah satu bulan dengan didagangkan pada 0.7185 berbanding USD.
Timbalan Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA), Guy Debelle pada hari ini telah melancarkan empat pilihan dasar bank pusat, termasuk campur tangan pasaran matawang dan kadar negatif yang mana sekali gus menambah tekanan terhadap dolar Aussie.
Sementara dolar New Zealand juga didagangkan lemah sementara tumpuan pasaran kini terarah kepada mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada pagi esok.
Matawang euro pula terus di bawah tekanan dengan didagangkan di sekitar harga 1.17400 berbanding US dolar berikutan sekatan tempatan Covid-19 di beberapa kawasan di negara-negara Eropah.
Pandangan suram Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde terhadap ekonomi juga menambah beban terhadap matawang itu yang mengulangi janji beliau untuk meningkatkan rangsangan monetari jika diperlukan di tengah-tengah pemulihan di Zon Eropah yang tidak menentu.
Selain itu, dolar Kanada turut tersungkur lebih rendah ke tahap terendah enam minggu berbanding USD ditengah-tengah ketidakstabilan harga minyak mentah berikutan kebimbangan terhadap permintaan minyak global yang lemah.