Bank of Canada (BOC) dijangka akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 0.25% dalam mesyuarat polisi, di mana Tiff Macklem akan mengambil alih tugas Stephen Poloz sebagai Gabenor BOC yang baru.
Sejak wabak COVID-19 telah menghuru-harakan ekonomi dunia, bank pusat telah mengambil tindakan yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk memastikan pasaran kewangan Kanada terus berfungsi.
Gabenor Stephen Poloz sebelum ini telah bertindak mengambil langkah-langkah kecemasan dengan menurunkan kadar faedah sebanyak 150 mata asas ke paras terendah 0.25% pada bulan Mac.
Bagaimanapun, dengan tampuk kepimpinan baru, para pelabur mengharapkan supaya Tiff Macklem akan melakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu untuk menguatkan lagi komitmen bank pusat bagi menyokong ekonomi dalam menghadapi krisis pandemik pada keputusan mesyuarat polisi malam ini.
Ketika ucapan terakhir sebagai Gabenor BOC, Poloz memberitahu bahawa langkah rangsangan tambahan adalah perlu untuk meneruskan proses pembangunan semula, dan tidak menolak mengenai kemungkinan untuk melaksanakan kadar faedah negatif, sekiranya situasi ekonomi bertambah parah.
Ekonomi Kanada menguncup sebanyak 8.2% secara tahunan pada suku pertama, lebih baik daripada jangkaan dan di Zon Eropah, tetapi lebih teruk daripada Amerika Syarikat iaitu rakan dagang terbesarnya.
Dengan kenaikan harga minyak mentah ke paras tertinggi 3 bulan, dolar Kanada terus mengekalkan momentum pengukuhannya berbanding US dolar sehingga ke sesi pasaran Eropah.