Seorang senator kerajaan Australia telah menggesa pentadbiran negara itu untuk membalas tindakan China dengan mengenakan tarif import ke atas ekonomi gergasi kedua dunia itu dan mempertimbangkan untuk merampas kembali aset hak milik negara.
Senator Concetta Fierravanti-Wells mengakui bahawa jika Australia bertindak sedemikian, hubungan perdagangannya dengan China akan bertambah buruk, namun disebabkan ancaman berterusan oleh negara itu, Australia tidak boleh berdiam diri.
Beliau telah meningkatkan tuntutannya agar Beijing membayar ganti rugi kerana menjadi punca kepada penularan wabak coroanvirus dan yakin bahawa tindakan yang dikenakan China terhadap import Australia perlu dibalas dengan langkah yang sama.
Di bawah rancangannya, aset milik negara China dikatakan berpotensi untuk dicairkan atau disita sebelum dikembalikan ataupun dijual.
Malah, beliau juga percaya bahawa Australia boleh melanggar perjanjian sewa pelabuhan Darwin, sebagai balasan kepada tindakan negara itu yang melakukan pencerobohan Laut China Selatan dan menghentikan pembayaran hutang kerajaan China.
Pada Oktober 2015, syarikat milik China, Landbridge Group telah memenangi kontrak untuk menyewa pelabuhan Darwin selama 99 tahun dengan harga $506 juta.
Dengan menjadikan rundingan Amerika Syarikat dan China yang sukar sebagai contoh, Senator Fierravanti-Wells menggesa Australia supaya mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap Beijing.
Bulan lalu, China telah mengenakan 80% tarif import dan menyenarai hitamkan beberapa pengimport daging dari Australia sebagai tindak balas terhadap tuntutan Canberra yang menggesa supaya siasatan mengenai asal usul coronavirus dilakukan ke atas Beijing.
Beijing juga memberi saranan kepada rakyatnya supaya menjauhi dan mempertimbangkan untuk ke Australia susulan dakwaan diskriminasi yang dihadapi oleh orang Asia berikutan isu coronavirus.