Semalam 06 April 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pakej prihatin tambahan dengan peruntukan dana sebanyak RM10 bilion yang bertujuan untuk meringkan beban Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perusahaan mikro.
Menurut beliau, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) itu dilaksanakan bagi memastikan dua pertiga daripada jumlah pekerja di Malaysia terus mendapat pekerjaan.
Tambahan daripada itu, Perdana Menteri mendedahkan bahawa PKS juga mempunyai peranan penting serta menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara. Selain itu, sektor ini dikatakan telah memberi sumbangan lebih dua pertiga daripada peluang pekerjaan dalam negara dan kira-kira 40% kepada ekonomi.
Melalui pakej yang diumumkan tersebut, peruntukan bagi program subsidi upah akan ditambah daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion.
Berdasarkan inisiatif tambahan ini, kesemua syarikat yang memiliki pekerja tempatan yang diberikan gaji RM4,000 dan ke bawah, akan menerima subsidi upah seperti yang dinyatakan:
1. Syarikat yang memiliki lebih 200 orang pekerja, subsidi upah sebanyak RM600 akan dikekalkan. Akan tetapi, bilangan pekerja yang layak menerimanya akan ditingkatkan daripada 100 kepada 200 orang pekerja.
2. Syarikat yang mempunyai pekerja seramai 76 hingga 200 orang pula akan diberikan subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja
3. Syarikat yang memiliki pekerja sehingga 75 orang akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.
Sementara itu, insentif ini diperuntukkan dalam tempoh 3 bulan serta dikhaskan kepada para majikan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 serta mendaftar dengan PERKESO.
Di samping itu, syarikat yang ingin menerima peruntukan ini mestilah mengekekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan, iaitu 3 bulan semasa penerimaan subsidi dan 3 bulan selepas itu.