Dagangan minyak mentah melonjak ke paras ketinggian lima bulan setelah data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menunjukkan bekalan minyak mentah AS jatuh dengan ketara pada minggu lalu.
Inventori minyak mentah AS dilaporkan merosot sebanyak 7.4 juta tong pada minggu lepas kepada 518.6 juta tong, jauh melebihi jangkaan pasaran untuk kejatuhan sebanyak 3.4 juta tong.
Harga minyak naik lebih tinggi susulan laporan tersebut dengan WTI Amerika Syarikat menokok 4% kepada $43.30 setong sebelum susut sedikit untuk didagangkan di sekitar harga $42.00 setong.
Sementara itu, minyak mentah Brent pula meningkat 3.6% kepada $46.03 setong dan kemudiaannya diniagakan pada $45.28 setong pada sesi Asia hari ini.
Selain itu, turut menyokong dagangan komoditi hitam ini adalah kelemahan matawang USD yang didagangkan susut di sekitar tahap terendah dua tahun.
Ketika harga minyak mulai naik, OPEC dan beberapa pengeluar AS bersedia untuk menguji pasaran dengan meningkatkan pengeluaran setelah harga mulai pulih dari kejatuhan sejak April.
Namun begitu, berikutan daripada peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang masih berterusan di beberapa negara menyebabkan dagangan emas hitam itu sukar untuk meningkat lebih tinggi.