Ketegangan perdagangan antara Australia dan China bertambah buruk selepas Beijing menghentikan import kayu balak dari Victoria, kurang satu minggu setelah larangan tidak rasmi ke atas eksport Australia berkuatkuasa.
Keputusan itu dibuat setelah pegawai kastam China mengeluarkan notis pada hari Rabu, yang mengatakan bahawa ia telah mengesan kumbang kulit kayu pada kayu balak yang diimport ke China.
Pada Khamis pagi, Persatuan Produk Perhutanan Australia mengesahkan pihak berkuasa kastam China telah menyatakan isu sama mengenai serangga perosak yang dikesan pada kayu tersebut, sekali gus mengakibatkan penghentian import serta merta.
Sekatan terbaru ini pastinya akan menjejaskan lagi ekonomi Australia yang telah dirosakkan oleh krisis pandemik coronavirus.
Ketua eksekutif pelabuhan portland, Greg Tremewen mengatakan penghentian itu akan membawa kesan yang besar kepada ekonomi Victoria.
Tambah beliau lagi, Pelabuhan Portland telah mengeksport lebih dari 1 juta tan kayu balak setiap tahun dan sebahagian besarnya ke China di mana ia dianggarkan bernilai $260 juta setahun.
Sebelum ini juga dilaporkan bahawa sekatan telah dikenakan terhadap eksport Australia termasuk udang karang, barli, wain, tembaga dan arang batu Australia walaupun pihak berkuasa China belum mengesahkannya secara rasmi.
Sementara itu, Brad Coates, dari Kesatuan Pembinaan, Perhutanan, Maritim, Perlombongan dan Tenaga menyalahkan sekatan terbaru ini adalah disebabkan ketegangan antara kedua-dua negara yang telah dicetuskan oleh Australia yang menggesa supaya siasatan dikenakan ke atas China mengenai asal usul coronavirus.