Harga minyak susut lebih rendah pada dagangan hari Jumaat berikutan ketegangan yang semakin meningkat antara dua ekonomi gergasi dunia dan permintaan bahan bakar yang masih rendah.
Niaga hadapan minyak mentah Bent didagangkan menyusut 1.3% kepada $35.55 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula susut lebih 2% dan diniagakan di sekitar harga $33.00 setong.
Bagaimanapun, kedua-dua harga kontrak tersebut bakal mencatatkan keuntungan bulanan terbesarnya berikutan permintaan yang semakin pulih.
Sentimen pasaran bertambah buruk setelah China bertindak meluluskan rang undang-undang keselamatan di Hong Kong. Rentetan daripada itu, Presiden AS Donald Trump dikatakan akan mengumumkan tindak balasnya melalui sidang media pada hari ini.
Hal ini secara tidak langsung telah menimbulkan kebimbangan pasaran berikutan tindak balas AS yang mungkin turut mengakibatkan sekatan perdagangan, di mana ia akan mempengaruhi permintaan minyak mentah yang sedang beransur pulih daripada sekatan akibat COVID-19.
Sementara itu, pelabur juga akan menumpukan perhatian mereka kepada keputusan yang akan dibuat ketika mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada bulan Jun, iaitu sama ada Rusia akan bersetuju untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran sehingga akhir tahun ini.
Turut menambah tekanan kepada penyusutan harga minyak adalah apabila Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) melaporkan inventori minyak mentah kembali mempamerkan peningkatan dengan lonjakan 7.9 juta tong pada minggu lepas daripada penurunan 5 juta tong yang dicatatkan sebelum ini.
Permintaan terhadap bahan bakar dilihat masih rendah meskipun beberapa negara telah mula mengangkat sekatan perjalanan yang dilaksanakan sebelum ini untuk membendung penularan COVID-19.