Matawang kripto terbesar dunia, Bitcoin sekali lagi berjaya menembusi paras harga $12,000 untuk kali kedua pada bulan ini, dengan tanda-tanda menunjukkan ia akan terus meningkat lebih tinggi berkemungkinan ke paras $12,400 atau lebih tinggi lagi.
Lonjakan drastik itu menyusuli pengukuhan yang diperoleh altcoins iaitu Chainlink dan Band Protocol pada dagangan penghujung minggu yang meraih perhatian dengan peningkatan dua digit setiap hari.
Pada hujung minggu lalu, harga Bitcoin juga ditutup tinggi pada $11,686, mencecah harga penutupan mingguan tertinggi sejak 28 Januari 2018 yang ditutup pada $11,767.
Dalam beberapa sesi terakhir, harga Bitcoin memulakan kenaikan baru dari kawasan sokongan $11,500 berbanding US dolar. Harga Bitcoin kemudiannya berjaya memecahkan beberapa paras rintangan penting berhampiran $11,800 sebelum menembus harga $12,000 selepas itu.
Walau bagaimanapun menurut penganalisis, peningkatan yang dicatatkan Bitcoin ini sememangnya sudah dijangkakan oleh kebanyakan pelabur.
Menurut penganalisis lagi, aliran masuk Bitcoin ke pertukaran kripto berada di tahap normal pada hujung minggu lalu, dan ini bermaksud bahawa pelabur masih belum bersedia untuk melepaskan pegangan mereka.
Jadi, jangkaan anda ke paras berapakah harga Bitcoin akan terus melonjak selepas ini?