Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) tidak dapat menolak kebarangkalian Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi akan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) dengan tambahan 25 mata asas kepada 1.50% dalam masa terdekat.
Pihak mereka menjangkakan pemotongan tersebut akan berlaku pada pertemuan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan berlangsung pada awal September.
Semalam, BNM sudah mengurangkan kadar faedah OPR sebanyak 25 mata asas ke paras terendah pada 1.75% sebagai penambahan kepada rangsangan dasar untuk memacu kadar pemulihan ekonomi negara.
Nilai OPR terbaru iaitu 1.75% merupakan rekod terendah sejak paras lantai koridor ditetapkan pada 16 tahun yang lalu.
HLIB berpendapat dengan aktiviti ekonomi yang masih lemah dan prospek inflasi yang sederhana mungkin akan mendorong BNM untuk mengurangkan OPR buat kali yang kelima bagi 2020.
Pihak mereka juga menjelaskan bahawa pendekatan dasar yang dilaksanakan secara domestik, yang akan tamat pada bulan Oktober nanti adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19.
Sementara itu, MPC mengandaikan kadar inflasi akan menurun untuk 2020 dengan rata-rata inflasi utama lebih cenderung negatif pada tahun ini susulan daripada unjuran harga minyak global yang jauh lebih rendah.
Mereka juga menjangkakan risiko penurunan harga secara meluas dan berterusan akan menjadi terhad. Walau bagaimanapun, inflasi tetap akan bergantung kepada harga minyak global dan komoditi.