Harga minyak meningkat pada hari dagangan pertama tahun 2020 dipacu oleh hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin pulih dan peningkatan ketegangan di Timur Tengah telah menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan minyak mentah.
Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat mencatat kenaikan sebanyak 17 sen kepada $61.23 setong, manakala minyak mentah Brent susut 21 sen kepada $66.20 setong.
Kedua-dua penanda aras tersebut mencatat peningkatan tahunan terbesar sejak 2016 dan berakhir dengan catatan yang lebih tinggi pada 2019.
Pada tahun 2020, penganalisis menganggarkan secara purata harga minyak mentah Brent akan meningkat kepada $63.07 setong, lebih tinggi daripada jangkaan pada bulan Disember iaitu $62.50 manakala anggaran purata WTI Amerika Syarikat pula $57.70 setong, naik daripada jangkaan awal pada bulan lepas iaitu $57.30.
Sentimen optimis perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia dan pemotongan yang lebih tinggi dalam pengeluaran minyak mentah oleh OPEC dan OPEC+ telah mengangkat pandangan penganalisis terhadap unjuran harga minyak pada tahun ini.
Presiden Donald Trump mengumumkan tarikh majlis untuk menandatangani perjanjian adalah pada 15 Januari 2020 dan turut memberitahu akan berkunjung ke Beijing untuk memulakan rundingan perjanjian fasa 2 dengan China.
Permulaan tahun 2020 turut menandakan bermulanya pengurangan yang lebih mendalam pengeluaran minyak mentah sepertimana yang diputuskan oleh OPEC baru-baru ini. OPEC dan sekutunya bersetuju untuk menambah 500,000 tong kepada 1.7 juta tong pengeluaran sehari bermula 1 Januari.
Sementara itu, ketegangan di Timur Tengah semakin hangat apabila penunjuk perasaan menyerbu Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad pada hari Rabu sebagai protes kepada serangan udara di Iraq dan Syria yang dilancarkan oleh AS pada hujung minggu lalu.