Harga minyak mempamerkan kejatuhan ketara pada dagangan awal minggu ditekan oleh kebimbangan pasaran terhadap penemuan varian Covid-19 baharu di UK sehingga mendorong sekatan lebih ketat dilaksanakan di negara itu.
Bagi membendung lonjakan jangkitan yang dikaitkan dengan jenis baru virus tersebut, Perdana Menteri UK, Boris Johnson telah mengumumkan sekatan Covid-19 tahap tempat di London dan sebahagian England.
PM Johnson akan mempengerusikan mesyuarat kecemasan pada hari ini, sebagai tindak balas kepada penemuan baru tersebut dengan berbincang mengenai perjalanan antarabangsa dan aliran barang masuk dan keluar Britain.
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UK mencatatkan kenaikan harian tertinggi sejak bermulanya wabak itu, sebanyak 35,928 kes pada hari Ahad. Sementara kematian pula meningkat sebanyak 326 orang menjadi jumlah terkini melebihi 67,000 korban.
Menambahkan lagi tekanan buat dagangan minyak mentah, adalah keputusan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menutup sempadan mereka daripada UK bagi mengelakkan penularan.
Pada sesi Asia hari ini, niaga hadapan minyak mentah Brent susut 3.2% kepada $50.57 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula turun 3.1% pada $47.70 setong.
Namun begitu, berita mengenai persetujuan yang telah dicapai dalam pakej rangsangan AS sedikit menyokong dagangan komoditi hitam itu dari jatuh lebih rendah.