Dagangan bagi 2 minggu sebelum ini menyaksikan penurunan harga pada carta pasangan matawang USD/JPY hampir mencecah 500 pips setakat Jumaat lalu.
Ini adalah berikutan sentimen pasaran yang terus berisiko ekoran penularan wabak Coronavirus COVID-19 yang semakin membimbangkan dan telah menjejaskan rantai ekonomi global.
Aset safe-haven menjadi tumpuan para pelabur melihatkan permintaan meningkat terhadap matawang safe-haven Yen dalam pasaran.
Walaupun US dolar turut dikategorikan sebagai matawang safe-haven, namun tidak mendapat tarikan pelabur apabila ekonomi Amerika Syarikat turut berdepan ancaman serangan wabak COVID-19 dengan amaran telah dikeluarkan terhadap rakyatnya.
Dagangan USD/JPY telah membuat penurunan dari paras ketinggian 112.200 yang dicapai pada 20 Februari lalu sehingga sekitar 107.500, paras terendah terbaru dalam tempoh 5 bulan.
Menutup dagangan minggu lalu pada Jumaat, harga mempamerkan penurunan ketara lebih 200 pips dengan penyusutan matawang US dolar.
Memulakan dagangan pada minggu ini, sesi pasaran Asia menyaksikan kenaikan dari paras terendah dicecah minggu lalu.
Namun dengan jangkaan penurunan kadar oleh Federal Reserve (Fed), harga bakal meneruskan penurunan ke paras lebih rendah lagi pada minggu ini ditambah sentimen pasaran yang terus berisiko.
Jika harga berjaya lepasi penurunan di bawah paras 1.07.400, antara destinasi yang dijangka akan menjadi tumpuan harga adalah pada paras support 107.000 atau lebih rendah pada 106.600.
Namun jika harga kembali membuat kenaikan, paras halangan dinamik Moving Average 50 (MA50) akan diuji harga dan jika berjaya ditembusi, kenaikan berkemungkinan menuju zon SBR (support become resistance) 109.700.
Lihat gambar carta pasangan matawang USD/JPY di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.